Anwar Ibrahim (official)

The Official Telegram Channel of Datuk Seri Anwar Ibrahim (DSAI).
Perdana Menteri Malaysia. 🇲🇾

Facebook: facebook.com/anwaribrahimofficial/
Instagram: instagram.com/anwaribrahim_my
Twitter : twitter.com/anwaribrahim

View in Telegram

Recent Posts

Usai acara di DBP, saya sempat melayani cucu-cucu yang kelaparan sebelum pulang ke rumah. Teringat bait lagu ‘Nyanyian Serambi’ oleh paparock Ramli Sarip malam tadi, “keluar pagi balik petang, adakala sampai malam; cari rezeki bawa pulang, buat orang yang tersayang…”.
Hadir bersama dalam memeriahkan malam kesenian berjudul ‘Manifestasi Tiga Seni’ anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka yang diadakan di Balai Budaya Tun Syed Nasir.

Majlis malam tadi menghimpun karya-karya seni di pelbagai cabang; baik puisi, seni lukis dan muzik.

Acara ini juga diadakan sebagai kesinambungan kepada acara yang sama yang pertama kali digerakkan lewat 1970an sebagai sebahagian dari kerangka melonjak negara selepas tragedi hitam 13 Mei.

Seni sebagai wahana yang menyatukan semestinya menjadi sisi penting dalam usaha membangun serta membina bangsa.

Justeru, dewasa ini seni seharusnya bergerak dengan bebas dan disemarakkan, termasuk yang bersifat kritikal terhadap kekuasaan dan dalam apa jua bentuk.

Semangat negara yang madani menganjur serta memupuk nilai daya cipta dan kreativiti, dan kita sebagai masyarakat harus menghayati dan meraikannya agar negara ini berjaya dan melonjak.

Acara malam tadi selain menampilkan sesi deklamasi sajak dan puisi oleh sasterawan, penyair dan para pendiri seni, ia turut dimeriahkan dengan dendangan muzik dari saudara Azizul Hakim, Asmidar dan antara lagenda besar tanah air Datuk Ramli Sarip. Penghargaan setingginya kepada DBP dan Syarikat Mik & Bell Production Sdn. Bhd. dan Edaran kerana menjayakannya.

#MalaysiaMADANI
Sewaktu mempengerusikan Mesyuarat Majlis SDG Negara Tahun 2024, beberapa perkara telah diberi penelitian dan dipersetujui termasuk kertas cadangan Pelan Strategik Environmental, Social and Governance (ESG) Kebangsaan.

Pelan ini dirangka dalam usaha Kerajaan membawa entiti perniagaan Malaysia secara berfasa ke arah pematuhan dan pelaporan ESG hatta ke peringkat yang melangkaui tahap pematuhan sekaligus mewujudkan kelebihan kompetitif dan pembangunan mampan negara.

Saya singgung keperluan memastikan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) tidak dibebankan dengan kos yang tinggi dalam usaha mematuhi garis panduan ESG, justeru disarankan bantuan latihan penerapan ESG turut dilaksanakan oleh syarikat-syarikat tersenarai awam, multinasional dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Ini penting bagi menyokong PKS dalam rantaian nilai masing-masing, sayugia kementerian-kementerian yang berkaitan disaran untuk memperkukuh program latihan yang bersesuaian kepada entiti perniagaan yang disasarkan.

Terkait prestasi semasa indikator matlamat pembangunan mampan (SDG) negara, mesyuarat turut dimaklumkan bahawa Malaysia mencatatkan kemajuan yang memberangsangkan dengan unjuran pencapaian 43% sasaran SDG menjelang 2030 dimana unjuran ini mengatasi purata unjuran pencapaian global pada 17%.

Kerajaan MADANI kekal berpegang teguh dengan sasaran indikator SDG negara yang seiring dengan sasaran-sasaran Ekonomi MADANI sementelahan pendekatan keseluruhan negara amat penting dalam mempergiat dan menambah baik inisiatif-inisiatif yang telah dirangka.

#MalaysiaMADANI
Menjunjung kasih Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah atas kesudian bercemar duli selaku Canselor Universiti Malaya menyempurnakan majlis Malam Alumni Universiti Malaya, malam tadi.

Alhamdulillah, gembira ketemu sekitar 2,000 alumni, termasuk rakan-rakan seperjuangan tatkala kita bersama-sama mengecap ilmu dan mengenal erti perjuangan di Universiti Malaya.

Ketika berucap, saya menghimbau sejarah gemilang gedung ilmu ini yang telah melahirkan ilmuwan gergasi dalam pelbagai bidang.

Antaranya Almarhum Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz; Profesor Diraja Terpuji Tan Sri Dr Syed Muhammad Naquib Al-Attas; Almarhum Syed Hussein Alatas; mendiang Chin Fung Kee; mendiang Prof Emeritus Tan Sri Dr TJ Danaraj; mendiang Prof Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim; Almarhum Prof Datuk Zainal Abidin Abdul Wahid; Almarhum Prof Emeritus Datuk Dr Taib Osman; Prof Emeritus Datuk Abu Bakar Hamid; dan Almarhum Dr Syed Husin Ali.

Generasi kami tentunya beroleh manfaat apabila terdedah dengan kekuatan budaya ilmu dan asakan kepentingan ilmu, sama ada di dalam atau luar bilik-bilik kuliah, sebagai asas pertumbuhan dan pembinaan negara.

Zaman muda remaja kami diasuh oleh para gergasi ilmu ini untuk berpegang pada slogan menegak kebenaran dan keadilan. Ternyata pengaruh para profesor kanan ini sangat menebal dan membantu mewarnai watak dan wajah kebangkitan negara, terutamanya terkait perlunya anjakan sekiranya kita mahu maju dan bertapak sebagai negara hebat dan gagah di rantau ini.

Mendepani tantangan zaman pasca normal, saya ulangi ungkapan bahawa kita memerlukan tekad untuk menggapai ke langit, dalam erti meneroka ilmu, disiplin dan teknologi baharu, namun tekal berpegang pada kekuatan bahasa, budaya dan tamadun kita, serta bangga dengan sejarah dan jati diri dengan mengakar ke bumi.

Penghargaan tertinggi saya lontarkan buat Universiti Malaya yang terus mewarnai budaya dan kecemerlangan ilmu sebagai asas dalam usaha mengangkat martabat gedung ilmu ini.

Saya turut singgung pengalaman selaku Menteri Pendidikan bersama Canselor Universiti Malaya ketika itu, Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah yang mempertahankan kesedaran dan budaya ilmu. Alhamdulillah, kecintaan ilmu dan tradisi aqliyah ini diwarisi Tuanku Sultan Nazrin.

Untuk terus menyokong kegemilangan Universiti Malaya, saya percaya setiap alumni perlu memainkan peranan, bermula dengan mewajibkan alumni dalam kalangan ahli Jemaah Menteri menyumbang RM10,000 seorang kepada Tabung Endowmen Universiti Malaya.

#MalaysiaMADANI
Petang tadi saya mendengar pembentangan terkait situasi keselamatan siber negara yang semakin mencabar dan kompleks, tatkala mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan Siber Negara (JKSN) Bilangan 2 Tahun 2024.

Jawatankuasa ini menyokong usaha NACSA untuk terus meneraju insiatif pengukuhan keselamatan siber negara terutamanya dalam melindungi Infrastruktur Maklumat Kritikal Negara (NCII).

Selaras dengan Kepengerusian ASEAN 2025, saya dimaklumkan mengenai penganjuran Cyber Defense and Security Exhibition and Conference (CYDES) 2025 serta penyediaan Malaysia Cyber Security Strategy (2025-2030) yang baharu bagi mengukuhkan strategi dan inisiatif berkaitan keselamatan siber negara. Malaysia berada dalam kapasiti yang tinggi untuk menjadi peneraju dalam bidang keselamatan siber dan ianya bakal memberi impak positif sepanjang tempoh Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN.

Mesyuarat turut bersetuju supaya NACSA menerajui Pusat Kriptografi Negara yang dimulakan di Universiti Putra Malaysia dan turut membuka ruang kepada penyelidik-penyelidik daripada universiti lain untuk turut terlibat. Pusat ini perlu inklusif dengan penglibatan pakar, intelektual dan sektor swasta yang mampu memastikan Malaysia tidak ketinggalan dalam teknologi kriptografi.

Kita tidak ketandusan pakar dalam bidang ini namun harus memastikan terdapat kesinambungan antara sektor akademik, keperluan industri serta keutamaan memelihara ekosistem keselamatan siber negara.

Mesyuarat juga bersetuju supaya Malaysia menyertai Budapest Convention dan United Nation Convention against Cybercrime bagi menunjukkan komitmen negara dalam menangani jenayah siber di peringkat domestik dan antarabangsa.

Saya juga zahirkan sokongan supaya satu rang undang-undang jenayah siber digubal bagi menggantikan Akta Jenayah Komputer 1997.

#MalaysiaMADANI
Petang tadi mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Dasar Keterjaminan Makanan Negara Bil. 2/2024, iaitu platform tertinggi bagi Kerajaan untuk menekuni isu terkait sekuriti makanan serta kebajikan petani dan pesawah.

Mesyuarat antara lain memberi tumpuan kepada isu produktiviti hasil padi negara. Dalam soal ini, saya mengarahkan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) untuk memastikan tambahan hasil padi yang signifikan pada tahun 2025.

Sasaran ini penting bagi untuk meningkatkan hasil pesawah, di samping memastikan keterjaminan bekalan padi beras sebagai makanan ruji negara.

Dengan strategi yang proaktif dan kerjasama semua pihak, agenda keterjaminan makanan akan terus didukung oleh Kerajaan MADANI bagi kemaslahatan dan kebajikan rakyat Malaysia.

#MalaysiaMADANI
Menghadiri Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan Yang di-Pertua Negeri Sabah di Istana Negara yang disempurnakan oleh KDYMM Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.

Tahniah saya ucapkan kepada Tun Musa Aman di atas pelantikan ini dengan dititipkan doa semoga khidmat dan pengalaman panjang Tun dihargai serta dimanfaatkan rakyat terutamanya rakyat Sabah.

#MalaysiaMADANI
Sewaktu mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Tatakelola Nasional (JKKTN) semalam, antara dibincangkan adalah cadangan dasar bagi penggubalan Rang Undang-undang (RUU) Kebebasan Maklumat (atau Freedom of Information Act, FOI).

Mesyuarat bersetuju supaya RUU ini dibentangkan di Parlimen pada tahun 2025 ke arah meningkatkan ketelusan dalam perkhidmatan awam dengan memastikan hak individu untuk akses kepada maklumat di bawah bidang kuasa Kerajaan terjamin dan terpelihara di sisi undang-undang.
 
Mesyuarat turut mengambil maklum tentang penubuhan Pasukan Petugas Khas Indeks Persepsi Rasuah (CPI) yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Negara.

Langkah ini diambil untuk menambahbaik imej dan persepsi negara berhubung tatakelola baik sektor awam di peringkat antarabangsa, khususnya dalam kalangan pelabur asing.

Adalah menjadi tekad Kerajaan untuk sentiasa memperkukuh agenda tatakelola baik negara, mempertingkat integriti dan memerangi rasuah selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI.

#MalaysiaMADANI
Meluncurkan model kereta elektrik (EV) sulung keluaran PROTON yakni e.MAS 7 petang tadi dalam suasana penuh bersejarah buat industri automotif negara.

Kejayaan ini amat penting dan tepat pada masanya dalam usaha Kerajaan mewujudkan pemangkin kepada era mobiliti rendah karbon.

Dalam ucapan saya singgung bahawa sinergi rakan atau perkongsian strategik seperti yang telah terbentuk antara syarikat seperti DRB-HICOM dan GEELY menjadi contoh bahawa Malaysia adalah sebuah negara perdagangan yang bebas.

Negara berusaha untuk beralih kepada ekonomi berpendapatan dan berteknologi tinggi dengan menyediakan barangan bernilai tinggi untuk rantau ini serta seluruh dunia.

Saya turut mengumumkan PROTON e.MAS 7 akan turut digunakan semasa acara-acara rasmi sepanjang ASEAN 2025 dan langkah ini sekali gus menonjolkan usaha Malaysia dalam mempromosikan pembangunan EV dan komitmen ke atas Karbon Sifar Bersih 2025.

#MalaysiaMADANI
Usai sidang media bersama, saya dan Perdana Menteri Thailand Paetongtarn Shinawatra terus ke Seri Perdana untuk makan tengah hari bersama-sama delegasi sambil dijamu lauk-pauk tempatan selain seni persembahan kebudayaan.

Ruang santai ini digunakan untuk bertukar pandangan mengenai isu terkait antara dua-dua negara selain mengambil kesempatan untuk berehat selepas sesi perbincangan rasmi yang panjang.

Diharapkan, pertemuan saya dan Paetongtarn ini mampu melonjak masa depan yang cemerlang untuk Malaysia dan Thailand kelak, Insya-Allah.



Following the joint press conference, Prime Minister Paetongtarn Shinawatra of Thailand and I proceeded to Seri Perdana for a luncheon with our respective delegations.

We were honored to enjoy an array of local dishes alongside captivating cultural performances.

This serene environment provided an excellent opportunity for us to engage in meaningful dialogue regarding matters of mutual interest between our nations while also allowing us to unwind after a lengthy session of official meetings and discussions.

🇲🇾🤝🇹🇭

#MalaysiaMADANI
See more posts

View in Telegram