Cakna Gigi Anda

Bersama doktor² pergigian, berkongsi:
1. Tips penjagaan gigi
2. Info penting tentang Gigi
3. Isu Pergigian

“Gigi Sihat Senyuman Menawan!” 😀

View in Telegram

Recent Posts

Sapuan flourida adalah sejenis rawatan pencegahan untuk mengelakkan gigi daripada rosak dan berlubang. Sapuan juga boleh dilakukan pada gigi yang baru menunjukkan tanda-tanda awal gigi rosak dan berupaya mengembalikan kekuatan gigi.

Sapuan flourida boleh dilakukan di mana-mana klinik gigi atau perkhidmatan pergigian sekolah. Kekerapan sapuan pula bergantung kepada penilaian doktor yang memeriksa. Jika kebersihan mulut elok, 6 bulan sekali atau setahun sekali memadai. Bagi yang berisiko tinggi karies, mungkin perlu lebih kerap lagi.

Prosedur ini langsung tidak menyakitkan dan tidak mengambil masa yang terlalu lama. Sapuan ini berwarna kuning dan berperisa pisang! Ia akan melekat pada gigi untuk penyerapan flourida dan boleh ditanggalkan semasa memberus gigi.

p/s: sapuan ini hanya boleh dilakukan oleh professional. Tidak dijual di mana-mana selain klinik gigi.
Mak ayah risau nak gunakan ubat gigi berflourida pada anak-anak sebab takut mereka tertelan. Maka ada yang gunakan ubat gigi yang dilabel selamat ditelan.

Walaupun ada kata ubat gigi selamat ditelan, sebolehnya elakkanlah. Habis tu macam mana nak elak anak tertelan ubat gigi?

Mak ayah hendaklah tolong anak-anak semasa memberus gigi. Ini supaya dapat mengawal berapa banyak anak gunakan ubat gigi dan pastikan semua permukaan gigi anak digosok dengan betul.

Gunakan ubat gigi dalam kuantiti yang sedikit sahaja. Anak bawah umur 3 tahun, letakkan ubat gigi cuma sebesar sebiji beras. Lebih 3 tahun, guna sebesar kacang pea sahaja.

Semoga gigi anak-anak kita dalam keadaan baik dan sihat.
Pesakit selalu tanya, perlu ke cabut gigi bongsu ni? Dan kalau cabut, mesti kena pembedahan juga?

Selain disebabkan gigi bongsu yang rosak, secara amnya, pesakit yang datang dengan sakit gigi bongsu sudah mengalami sakit bukan baru sekali. Tapi dah banyak kali, dan kali ini datang boleh jadi dah tak tahan sangat. Kata kuncinya, sakit yang sentiasa berulang-ulang. Maka kita nasihatkan kes begini untuk dicabut gigi bongsunya.

Sakit ini boleh disebabkan gusi yang membengkak, makanan mudah masuk dalam gusi, tergigit gusi, ulser dan lain-lain. Selagi tak dicabut, selagi itu sakit akan berulang. Tak kisah sakit berulang ni sebulan sekali atau setiap minggu.

Ada juga pesakit yang tidak mahu rasa leceh untuk jaga gigi bongsu. Sayang nak cabut atau takut nak cabut. Tapi dah tak tahan sangat, setiap kali makan, ada saja makanan tersangkut. Kena kerap dibersihkan. Mulut berbau disebabkan sisa makanan. Sakit yang tak sakit sangat tapi selalu terjadi dan mengganggu.

Malah, ada juga yang ada kesedaran awal, tak mahu gigi sebelah rosak, disebabkan makanan selalu sangkut di celah gigi bongsu.

Ini semua faktor gigi bongsu dicabut selain atas permintaan pesakit sendiri.

Kenapa pembedahan? Perlu bedah atau cabutan biasa, bergantung pada penilaian doktor gigi ketika itu.

Secara amnya, pembedahan dilakukan kerana kedudukan gigi yang terimpak. Tidak ada atau tidak cukup ruang untuk gigi bongsu keluar seketul. Sama ada kedudukan gigi yang baring, yang senget, atau sebahagian gigi masih di dalam tulang akibat ruang yang sempit untuk gigi bongsu tumbuh keluar.

Jika tidak dibuat pembedahan, boleh jadi cubaan cabutan biasa hanya sia-sia kerana dituil-tuil ke mana-mana arah pun gigi tetap tak boleh keluar.

Apa-apa pun, sakit gigi bongsu jangan dibiar berlarutan. Boleh mengganggu kehidupan seharian bila dah terkena sakit gigi bongu. Dapatkan pemeriksaan dan berbicanglah dengan doktor gigi anda kaedah rawatan yang terbaik.
Mulakan tahun ini dengan azam baru - untuk berjumpa doktor gigi sekurang-kurangnya 1-2 kali setahun. Boleh?

Ramai berpendapat tidak perlu jumpa doktor gigi sebab gigi tidak ada masalah. Walaupun anda rasa begitu, buatlah temujanji untuk pemeriksaan gigi. Periksa sahaja, jadi tidak ada apa-apa yang perlu ditakutkan pun.

Jika anda tidak buat pemeriksaan, anda tak tahu apa masalah kerana kebanyakan masalah gigi tidak sakit di peringkat awal.

Jika ada apa-apa rawatan yang diperlukan selepas itu, berbincanglah dengan doktor gigi anda rancangan rawatan yang boleh dilakukan mengikut kesesuaian masa dan komitmen anda.
Kanak-kanak begini memerlukan terapi pergigian berperingkat, mengambil masa dan tempoh tertentu serta komitmen dari mak ayah. Kanak-kanak dan mak ayah akan datang klinik gigi untuk beberapa kali temujanji.

Pertama kali datang selepas menangis teruk sebelum ini, kita tak akan buat apa-apa rawatan yang extensive sangat untuk si anak. Mula-mula kita ajak anak kenal gigi dia. Rupa gigi macam mana, ajar anak tu pasal meberus gigi, kenapa gigi rosak.

Masa ni kita nak dia rasa percaya pada doktor gigi. Dibiasakan dengan suasana klinik gigi. Hilangkan rasa takut. Komitmen dan kerjasama mak ayah sangat2 diperlukan. Mungkin 1-2 sesi begini, atau lebih.

Bila si anak dah mula selesa, kita biasakan dengan kerusi rawatan. Kena baring. Ada lampu terang. Pakaikan cermin mata. Biasakan buka mulut. Kalau masa ni anak masih lagi tak nak, kena bersabar jugalah. Mak ayah boleh tunjuk contoh sama. Check gigi juga. Biar anak nampak semua okay saja.

Lepas tu baru kita mula rawatan. Kita mula dengan yang biasa-biasa. Macam sapu florida ke, polish sikit ke. Bagi dia rasa rawatan gigi ni taklah sakit mana. Dah okay yang ni, kita pergi lagi satu tahap rawatan lagi. Scaling, tampal, cabut.

Nampak leceh. Tapi perlahan-lahan, berkat mak ayah sabar, lama-lama nanti anak akan okay dan biasa. Lepas dah selesai semua rawatan sepatutnya, mak ayah pun kena beringat sama untuk jaga gigi anak di rumah juga.
Di klinik gigi, kami jumpa pesakit kanak-kanak yang tak mahu buka mulut, meronta-ronta menangis bila dipeluk, berdiri dan panjat kerusi rawatan kerana tak mahu dirawat, menendang-nendang doktor gigi dan mak ayah.

Kanak-kanak begini jangan dipaksa untuk teruskan rawatan gigi.

Kesannya nanti lebih teruk:

1. Rawatan tidak akan dapat dilakukan walau dipaksa. Habis tenaga, habis masa, pesakit di luar ramai lagi menunggu.

Mak ayah juga makin frust kerana anak tak bagi kerjasama.

2. Kanak-kanak tadi mungkin jadi lebih takut dengan doktor gigi dan rawatan pergigian. Lepas ni tak mau lagi datang klinik gigi.

3. Kanak-kanak tadi mungkin memendam rasa doktor gigi ni jahat dan rawatan pergigian menyakitkan.

4. Kesan yang lebih teruk bila gigi terbiar tak dirawat. Sakit dibiar berterusan. Kesan sakit gigi lebih teruk seperti muka bengkak dan kuman merebak ke organ lain.

Kanak-kanak begini memerlukan terapi pergigian & akan mengambil masa serta komitmen mak ayah.
Bila mak ayah nak tolong cabutkan gigi susu anak yang bergoyang, tak perlu paksa-paksa si anak. Sampai tengok ada selebriti kejar anak dia yang lari menyorok dalam almari menangis-nangis tak mahu gigi susunya dicabut.

Kenapa gigi susu bergoyang? Sebab ada gigi baru nak keluar. Bergoyang sebab akar gigi susu menjadi semakin pendek untuk bagi laluan gigi kekal yang menolak keluar.

Bila akar gigi susu semakin pendek, gigi ini boleh kita kata dah mati. Saluran saraf kosong dan kalau sakit, bukan sebab gigi. Habis tu sebab apa?

Sebab gigi susu ini masih melekat dengan gusi. Bila digoyang-goyang, itu lagi meyakitkan sebenarnya. Macam mana mak ayah nak tolong cabutkan?

Pastikan dulu gigi susu tu betul-betul bergoyang. Kalau baru goyang sikit, tunggulah dulu. Jangan terus nak cabut saja. Kesian ke anak tu.

Bila dah ready nak cabut, tak perlu main-main. Pegang gigi, pulas, dan terus tarik keluar. Masa ni memang sakit tapi kalau dimain-main, ditolak-tolak lagi memanjangkan sakit saja.

Itu yang sampai ada ikat gigi tu lepas tu ikat ke tombol dan hempas pintu. Itu atas risiko sendiri ya.

Kalau di klinik gigi kami bagilah bius. Kurang sikit sakitnya.

Kalau anak tak mau gigi susu goyang dicabut, nak buat apa? Bawa dia ke klinik gigi. Kalau tak nak cabut pun tak ada masalah. Kalau betul dah bergoyang, lama-lama nanti akan tanggal juga..
Bagaimana jika anda sakit gigi ketika musim wabak COVID-19 ini?

Umum mengetahui sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan dari 18/3 sehingga 14/4/2020, klinik pergigian tetap beroperasi seperti biasa.

Namun bagi mengurangkan risiko penyebaran virus corona ini, klinik pergigian menghadkan penerimaan pesakit hanya kepada kes-kes kecemasan pergigian sahaja.

Apa yang dimaksudkan dengan masalah pergigian kecemasan?

Sakit gigi yang teramat sangat sehingga mengganggu tidur serta aktiviti harian.
Jangkitan pada gigi sehingga menyebabkan gusi serta muka bengkak (abscess dan facial cellulitis).
Kemalangan sehingga menyebabkan gigi atau tulang rahang muka anda patah.
Dawai braces tercabut sehingga menyucuk pipi/gusi.
Crown/bridge/gigi palsu patah sehingga mengganggu fungsi makan.

Bagi anda yang mengalami sakit gigi yang tidak begitu serius dan masih boleh ditahan, anda boleh amalkan langkah-langkah berikut bagi membantu meredakan kesakitan yang dialami serta membantu anda untuk sekurang-kurangnya bertahan sehingga Perintah Kawalan Pergerakan ini berakhir bagi membolehkan anda pergi ke klinik gigi bagi mendapatkan rawatan.

BERUS GIGI BERSIH-BERSIH terutama pada bahagian gigi yang sakit tersebut (biasanya gigi berlubang/rosak teruk). Pastikan tiada sisa makanan yang berkumpul di kawasan itu. Pengumpulan sisa makanan inilah sebenarnya yang menjadi punca utama gigi yang berlubang tersebut terasa sakit kerana aktiviti kuman secara langsung terhadap saraf gigi.

Floss/benang gigi juga boleh digunakan sebagai tambahan bagi mengeluarkan sisa makanan terutama di celah-celah gigi untuk mengurangkan gejala rasa sakit.

Anda juga boleh berkumur-kumur dengan air suam yang dicampur dengan sedikit garam. Mahu berkumur-kumur dengan ubat kumur seperti Oradex atau Oral B juga boleh. Langkah ini bagi membantu membasmi kuman yang berada di celah-celah gigi dan pada lubang gigi yang tidak dapat dicapai sepenuhnya oleh berus gigi.

Tuam pipi anda pada bahagian yang sakit dengan menggunakan ketulan ais (cold compress). Langkah ini juga boleh membantu anda mengurangkan rasa sakit yang anda alami buat sementara waktu.

Makan ubat penahan sakit (pain killer) dan kemudian tidur/berehat. Antara ubat tahan sakit yang boleh anda beli di farmasi tanpa preskripsi doktor adalah seperti Panadol, Ponstan, Voltaren serta Ibuprofen. Ini dapat membantu meredakan rasa sakit anda buat sementara waktu.

Namun, jika kesakitan anda semakin bertambah, diikuti dengan gejala demam atau bengkak pada gusi serta wajah, anda dibenarkan untuk pergi ke klinik pergigian yang berhampiran bagi mendapatkan pemeriksaan serta rawatan lanjut walaupun Perintah Kawalan Pergerakan masih belum tamat. Ini kerana kes anda sudah termasuk dalam kategori kes pergigian kecemasan.

JANGAN SESEKALI MENCUBA PETUA YANG BUKAN-BUKAN KERANA DIKHUATIRI DAPAT MENYEBABKAN KESAKITAN SERTA KEROSAKAN GIGI ANDA MENJADI SEMAKIN PARAH.

Gigi yang telah rosak tetap perlu diperiksa dan dirawat oleh doktor gigi di klinik pergigian. Apa yang saya kongsikan di atas cumalah sekadar membantu anda mengurangkan rasa sakit buat sementara waktu di saat negara sedang mengalami ancaman COVID-19 yang semakin serius ini.

Oh ya satu lagi jika anda mengalami sakit gigi yang teramat sangat sehingga mengalami demam atau bengkak pada wajah pada waktu malam atau ketika hari cuti, anda juga boleh pergi ke bahagian kecemasan di hospital untuk mendapatkan bantuan. Di sana ada doktor gigi yang standby ataupun “oncall” yang bertugas untuk membantu anda di luar waktu pejabat/hari cuti.

Mari kita sama-sama berdoa supaya wabak COVID-19 ini cepat-cepat berlalu supaya kita dapat kembali melakukan aktiviti serta kerja harian kita seperti biasa.

Kongsikan jika anda rasa tulisan ini membantu terutama bagi mereka yang sedang mengalami sakit gigi.

Semoga bermanfaat!

~ Dr Mohd Khairul Izwan ~

#DakwahGigi
#PleaseStayAtHome
Tujuan kerajaan melakukan Perintah Kawalan Pergerakan adalah untuk “memutuskan” aliran penularan virus COVID-19 dan memperlahankan penyebaran wabak penyakit.

Jom sama-sama menyumbang kepada usaha ini sebagai tanda kita seorang rakyat yang prihatin. Tak perlu tenaga yang banyak dan tak perlu keluarkan duit pun. Keluarkan peluh pun tidak.

Duduk di rumah diam-diam, luangkan masa yang ada ni sebaik mungkin dengan keluarga dan jangan keluar jika tiada keperluan yang mendesak.

Ayuh! Kita boleh melakukannya. 💪🏻
COVID-19 DAN “FAKE DENTIST”

Kepada anda yang masih menggunakan perkhidmatan “fake dentist” untuk buat fake braces, fake veneer, fake denture dan segala jenis rawatan pergigian palsu, saya rasa waktu ini merupakan waktu yang paling sesuai untuk anda semua bertaubat dan kembali ke pangkal jalan.

Saya yakin anda tahu sebabnya. Tapi saya tetap nak sebutkan juga di sini.

Virus COVID-19 merupakan virus yang sangat mudah merebak dan menjangkiti orang yang berkontak rapat dengan pembawa (carrier) kepada virus ini.

Apa lagi jika instrument atau peralatan pergigian yang digunakan tidak disteril atau dinyahkuman dengan betul.

Bayangkan peralatan tersebut digunakan terhadap individu yang mempunyai virus COVID-19 ini yang mana mungkin dia sendiri pun tak sedar yang dia mempunyai virus tersebut. Kemudian peralatan tersebut digunakan pula kepada anda!

Jadi jika anda masih berdegil untuk mendapatkan khidmat “fake dentist” ini, maka saya menyeru untuk kalian berfikir semula dan bertaubatlah.

Sama juga kepada anda yang menyediakan perkhidmatan “fake braces”. Ini adalah masa yang terbaik untuk anda bertaubat dan kembali ke pangkal jalan. Carilah sumber pendapatan lain yang lebih halal dan diberkati.

Jika anda tak sayangkan nyawa anda sekalipun, hormatilah nyawa orang lain!

Semoga bermanfaat.

#DakwahGigi

Gambar ihsan Google.
Klinik Gigi × Covid-19 × Perintah Kawalan Pergerakan

Oleh: Dr. Iqbal Rosali

1. Tak perlu ke klinik gigi kalau bukan kecemasan. Contoh kes kecemasan pergigian macam sakit gigi, gusi bengkak, jatuh gigi patah, crown/bridge/denture patah, dawai braces tercabut.

2. Prosedur pergigian berkala macam pemeriksaan setiap 6 bulan dan scaling, boleh tangguh dulu walau dah cukup masanya. Lain-lain prosedur yang tak urgent juga patut ditangguhkan dahulu.

3. WAJIB bagitahu pada staf klinik gigi kalau ada sejarah perjalanan ke luar negara, batuk, demam, selesema. Rawatan mungkin tak diteruskan jika ada simptom. Ikut arahan doktor gigi jika dirujuk ke bahagian perubatan untuk simptom tadi.

4. JANGAN pegang gigi dan mulut dengan jari, kemudian lap di kerusi atau dinding klinik gigi.

5. JANGAN MELUDAH MERATA. Jangan buang kapas berdarah bersepah-sepah.

6. Gigi susu anak bergoyang boleh cabut sendiri dekat rumah, atau tunggu dia tercabut sendiri.

7. Kalau perlu juga datang klinik gigi, tak perlu datang beramai-ramai. Tau semua orang cuti sekolah cuti kerja. Cukuplah seorang peneman atau penjaga, yang lain duduk rumah diam-diam.

8. Waktu perintah kawalan pergerakan ni bukan waktunya untuk datang klinik gigi. Bulan lepas punya sakit gigi, tapi sekarang tak sakit bukan kes urgent.

9. Mentang-mentang kerajaan bagi "cuti", baru ada masa nak buat check-up gigi. Ini bukan masanya. Duduk rumah dengan family diam-diam.

10. Kalau sebelum ni pesakit yang takut dengan doktor gigi, sekarang doktor gigi pula takut dengan pesakit. Ikutilah perintah kawalan pergerakan ni, supaya kita bebas dari virus covid19, dan kita boleh beroperasi semula tanpa rasa bimbang lagi.
SEKATAN PERGERAKAN WABAK COVID 19.
Oleh: Dr. Mazwin Mazlan
Tarikh: 16 Mac 2020

Baiklah, baru sebentar tadi PM Malaysia mengumumkan sekatan pergerakkan bermula 18 mac sehingga 31 mac 2020.

Perkhidmatan kesihatan terkecuali, kerana perkhidmatan ini masih dibenteng utama mengurus hal kesihatan rakyat jelata.

Namun suka saya ingatkan, walaupun perkhidmatan kesihatan masih diteruskan namun dalam keadaan sebegini PERKHIDMATAN KECEMASAN sahaja yang diutamakan.

Besar harapan saya semua rakyat Malaysia CAKNA apa yang dinamakan rawatan kecemasan.

Didalam sektor KESIHATAN PERGIGIAN tiada sebarang rawatan berbentuk elektif sepatutnya diberikan kepada pesakit.

Perlu diingat mulut dan rongga pernafasan adalah kawasan yang berkesinambungan, maka tempat jangkitannya berhubung secara langsung.

Bayangkan SOCIAL DISTANCING pun memerlukan jarak 1-2 meter diantara satu individu dengan individu yang lain, inikan pula memberi rawatan pergigian yang seolah berbisik jaraknya dari muka doktor gigi dan mulut pesakit.

Walaupun pesakit hadir tanpa sebarang simptom pernafasan sekalipun ini tidak menandakan, kalian bebas diri daripada menjadi pembawa penyakit ini. Covid 19 mempunyai julat yang sangat ketara dari simptom ringan sehingga ARDS yang kritikal kepada individu yang positif Covid 19.

Rakyat perlu tahu, waktu ini bukanlah peluang keemasan untuk serbu ke KLINIK GIGI untuk mendapatkan rawatan-rawatan yang terlepas semasa yang lalu seperti CUCI GIGI, TAMPAL GIGI, CABUT TUNGGUL GIGI yang berabad lamanya tidak diperdulikan.

Rawatan pergigian yang dilakukan menggunakan drill atau scaling (cuci gigi) akan menghasilkan semburan berbentuk aerosol, yang akan bertindak menerbangkan virus merata-rata disekeliling persekitaran kita. Ini sangat bahaya.

Rawatan Pergigian Kecemasan adalah seperti :-

1️⃣ Sakit gigi yang melampau mempunyai skor kesakitan 7-10
2️⃣ Bengkak akibat sakit gigi dan disusuli mempunyai simptom sistemik yang lain.
3️⃣ Penghasilan nanah akibat bengkak dengan kesakitan melampau.
4️⃣ Kecederaan mulut dan gigi akibat terjatuh atau sebarang trauma.
5️⃣ Pesakit yang mempunyai imun sistem yang rendah (immunosuppression & immunocompromised) dengan kesakitan gigi yang melampau.

Sokongan dari semua rakyat Malaysia adalah penting bagi membendung amukan wabak ini dari terus berleluasa.

Jika rakyat di Wuhan mampu menewaskan wabak ini dengan disiplin yang padu dari rakyatnya, mengapa tidak kita rakyat Malaysia. Mereka buktikan hanya dengan 50 hari lockdown rule, mereka berjaya “membersihkan” wilayah mereka dari COVID 19 ini.

Ayuh rakyat Malaysia kita sama-sama berjuang.

“Wa makaru wa makarullah, wallahukhoirun makirin.”

Kita merancang, Allah jua merancang, namun perancangan Allah swt mengatasi segala-galanya.

Amin ya rabb.
Dr. Mazwin binti Mazlan
Pegawai Pergigian
See more posts

View in Telegram